Hibah

 
Hibah dan wasiat merupakan dua instrumen penting dalam perancangan harta menurut undang-undang Islam. Hibah ialah pemberian harta yang berlaku semasa hidup pemberi hibah, sedangkan wasiat ialah pemberian harta yang berlaku selepas kematian pewasiat. Kedua-dua instrumen ini digalakkan dalam Islam, di mana sekiranya ia dilakukan dengan betul dan selaras dengan kehendak syarak maka ia boleh mengelakkan berlaku pertikaian dan perebutan harta. 

Melalui hibah dan wasiat juga dapat membantu kaum kerabat yang memerlukan bantuan. Terdapat tanggapan bahawa dengan melakukan hibah dan wasiat maka dia telah menyalahi ketepatan hukum faraid. Tanggapan ini tidak tepat kerana kedua dua instrumen ini juga sebenarnya diberi fokus dan tempatnya yang tersendiri di dalam Islam. Justeru di sini saya akan cuba mengupas isu-isu berkaitan dengan hibah dan wasiat dari segi hukum hakam dan aplikasinya di Malaysia.

1. KONSEP HIBAH DALAM ISLAM

1.1 Pengertian Hibah

Hibah dari segi bahasa bermaksud pemberian sama ada dalam bentuk ain atau selainnya. Ia  merangkumi hadiah dan sedekah. Ketiga-tiga istilah ini mempunyai pengertian yang hampir sama. Perbezaannya dari aspek tujuan pemberian itu, di mana sedekah ialah suatu pemberian yang bertujuan untuk mendapat pahala di akhirat dan ia biasanya dari yang kaya kepada yang miskin. Manakala hadiah pula ialah pemberian untuk memuliakan seseorang dan biasanya ia ada hubungkait dengan sesuatu perkara. Dengan ini dapat dirumuskan bahawa setiap sedekah dan hadiah adalah hibah, tetapi bukan semua hibah adalah sedekah dan hadiah.

Hibah pada istilah syarak ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (iwad). Secara lebih khusus lagi, hibah ialah suatu akad pemberian milik ain harta daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan (iwad) semasa hidup secara sukarela, bukan mengharapkan pahala di akhirat dan memuliakan seseorang, dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya.

Berdasarkan definisi di atas, dapat disimpulkan ciri-ciri hidah adalah seperti berikut:
(i)    Suatu akad pemberian milik harta kepada sesuatu pihak.
(ii)   Harta yang boleh dihibah ialah ain harta, bukannya hutang atau manfaat.
(iii)  Akad hibah dibuat tanpa mengenakan sebarang balasan (iwad).
(iv) Akad hibah berkuat kuasa semasa hidup pemberi hibah.
(v)  Ia dibuat secara sukarela tanpa paksaan.
(vi) Akad dibuat bukan bertujuan untuk mendapat pahala atau memuliakan seseorang tertentu.


Kredit utk penulis asal artikel : Ummi Munaliza (halaqah.net)