Sunday 27 March 2011

SIAPA PENTADBIR HARTA PUSAKA SYED KECHIK

Kisah ini menjadi pengajaran dan bahan rujukan kes untuk para penulis wasiat dan anda semua.

Keputusan siapa pentadbir harta pusaka Syed Kechik esok

July 29, 2010
 
KUALA LUMPUR, 29 Julai — Persoalan mengenai siapa yang layak mentadbir harta pusaka Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary yang bernilai RM400 juta, akan diputuskan esok oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng memerintahkan kesemua pihak yang terbabit dalam pertikaian itu memfailkan kenyataan saksi dalam bentuk afidavit, serta mengemukakan hujah lisan sebelum beliau membuat keputusan.

Mahkamah perlu menentukan siapa yang layak mentadbir harta peninggalan jutawan berkenaan, sama ada anak lelaki Syed Kechik menerusi perkahwinan pertamanya iaitu Syed Gamal, atau isteri keduanya Puan Sri Sofiah Moo Abdullah dan dua anak perempuan mereka iaitu Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira, kata peguam Pawancheek Marican yang mewakili Syed Gamal kepada pemberita selepas prosiding kes itu hari ini.

Mahkamah sepatutnya memutuskan hari ini permohonan kaveat Syed Gamal terhadap keluarga tirinya bagi menghalang mereka menguruskan harta pusaka itu tanpa merujuk kepada beliau terlebih dahulu.

Selain Pawancheek, Syed Gamal diwakili Zulkifli Che Yong dan Azmi Tan Sri Mohd Rais manakala peguam Steven How Chee Hong dan Uma Parvathy mewakili Sofiah, Sharifah Zarah dan Sharifah Munira.

Dalam permohonan yang difailkan 14 April lalu, Syed Gamal, yang merupakan anak lelaki tunggal Syed Kechik, mendakwa beliau merupakan waris dan anak yang sah untuk menjadi pentadbir bersama harta pusaka itu.

Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik pada 10 April tahun lepas pada usia 80 tahun kerana sakit jantung.

Syed Kechik ialah bapa mentua pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, seorang bilionair yang tersenarai antara orang terkaya di negara ini.

Syed Gamal, 46, membuat permohonan itu berikutan tindakan keluarga tirinya memfailkan petisyen memohon supaya surat kuasa mentadbir harta pusaka bapanya diberikan kepada mereka.

Dalam petisyen yang difailkan pada 15 Sept tahun lepas, mereka memohon surat kuasa mentadbir diberikan kepada mereka sebagai isteri dan anak yang sah di sisi undang-undang, kerana Syed Kechik tidak meninggalkan wasiat. — Bernama

Mungkin ada yang tertanya-tanya, siapa dia Syed Kechik ini malah mungkin sahaja generasi baru tidak begitu mengenali beliau. 


KUALA LUMPUR: Anak-anak Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary gagal mencapai penyelesaian di luar mahkamah berhubung pentadbiran estetnya bernilai RM400 juta.
Pertikaian itu kini akan didengar oleh Mahkamah Tinggi pada 7 Julai.

Para peguam yang mewakili Syed Gamal dan dua adik perempuannya, Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira, melaporkan kegagalan adik beradik berkenaan mencapai persetujuan itu kepada Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Anantham Kasinather di dalam kamar hari ini. Atan Mustaffa Yussof, peguam yang mewakili Syed Gamal, berkata mahkamah kemudian menetapkan 7 Julai untuk mendengar permohonan Syed Gamal untuk membatalkan saman pemula yang dikemukakan oleh kedua-dua adiknya itu terhadapnya.

Syed Gamal ialah anak lelaki tunggal Syed Kechik dengan isteri pertamanya, Zainab @ Eshah, manakala Sharifah Zarah dan Sharifah Munira ialah anak dengan seorang lagi isterinya, Puan Sri Sofiah Moo Abdullah. Syed Kecik menceraikan Zainab ketika Syed Gamal berumur lima tahun.

Kemelut keluarga itu bermula selepas Syed Kechik meninggal dunia pada April tahun lalu, pada umur 81 tahun, tanpa meninggalkan wasiat.

Allahyarham adalah bapa mentua kepada pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, hartawan terkaya Melayu dan disenaraikan sebagai tokoh kelapan terkaya di negara ini.

Pada 9 November tahun lalu, Syed Kechik Holdings Sdn Bhd, Sharifah Zarah dan Sharifah Munira memohon diisytiharkan bahawa Syed Gamal, selaku benefisiari estet Syed Kechik, tidak mempunyai hak atau kepentingan dalam aset syarikat itu sehingga pentadbiran dan pengagihan estet itu selesai.

Kedua-dua beradik itu memohon satu perintah bagi menghalang Syed Gamal atau ejen-ejennya daripada akses dan campur tangan dalam aset, rekod, akaun dan hal ehwal syarikat itu.

Mereka juga memohon satu perintah untuk menghalang Syed Gamal daripada campur tangan dalam pelaksanaan tugas dan kuasa mereka sebagai pengarah syarikat dan hal ehwal korporat lain, termasuk pemindahan dan penjualan saham syarikat.

Pada 15 Januari lalu, Sharifah Zarah dan Sharifah Munira, memperoleh injunksi sementara untuk menghalang Syed Gamal daripada campur tangan dalam hal ehwal syarikat sehingga saman pemula itu diputuskan Mahkamah Tinggi Sivil.

Syed Gamal memperoleh injunksi ex-parte daripada Mahkamah Syariah pada 14 September tahun lalu untuk menghalang 44 peratus sahamnya dalam syarikat itu daripada dijual atau dicairkan.

Pada 11 November, 2009, Mahkamah Rayuan Syariah memperakui keputusan itu selepas menolak rayuan Sharifah Zarah dan Sharifah Munira.

Dua beradik itu, yang melantik peguam Datuk N.Vijay Kumar untuk mewakili mereka kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi Sivil melalui saman pemula. -Bernama 
 
Kisah perebutan harta Allayarham Syed Kechik , sungguh menyedihkan, hartanya sangat banyak dan bernilai, tapi kerana terlalu banyak dan tidak ditinggalkan sebarang wasiat maka perebutan keatasnya mengaburi dan merenggangkan hubungan kekeluargaan yang ada. malah ia mungkin sahaja mengaibkan orang yang hidup apatah lagi yang telah meninggal dunia, yang sepatutnya pergi dengan aman dan tenang.
 
JUSTERU.. ANDA BUATLAH WASIAT AGAR WARIS ANDA MENDAPAT BAHAGIAN  YANG SEPATUTNYA DAN ANDA DAPAT BERSEMADI DENGAN TENANG DAN AMAN... 

1 comment:

  1. Sungguh membanggakan, seorang anak melayu yg mempunyai empayar kekayaan dan kemewahan yg setanding bangsa asing, namun sungguh mendukacitakan dan mengecewakan bila harta sebanyak itu MENGOYAK DAN MENGHANCURKAN hubungan kekeluargaan yg ada.pengajaan disini ada dua. 1. macamana mewah atau susahnya, uruskanlah harta dengan baik, tinggalkan wasiat dan pesanan. 2. Rupanya dah kaya pun tak juga cukup2..

    ReplyDelete